Thursday, September 6, 2007

Imbuhan menanti pemain Kedah

Sumber : Utusan Malaysia

SKUAD Kedah meraikan kejayaan ke final Piala Malaysia selepas menundukkan Terengganu 2-0 di Alor Star, kelmarin. – Gambar ISMAIL KAMADIN.


ALOR STAR – Skuad Kedah akan menerima imbuhan istimewa jika berjaya merangkul Piala Malaysia sekaligus memastikan tiga piala dalam Liga Bola Sepak Malaysia musim ini menjadi milik mereka.

Pengurus pasukan, Datuk Othman Aziz berkata, hadiah itu akan menjadi imbuhan tambahan selepas kejayaan merangkul Piala FA dan Liga Super. ‘‘Imbuhan itu tidak akan diumumkan sehingga mereka memenangi gelaran dan membawa pulang Piala Malaysia ke Kedah selepas kali terakhir merangkulnya 14 tahun lepas,” kata Othman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Kedah. Beliau berkata, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebenarnya meletakkan sasaran untuk layak ke perlawanan akhir tahun depan dan kejayaan memasuki perlawanan akhir awal setahun awal merupakan satu bonus.


Perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Sabtu ini akan menentukan sama ada impian besar Kedah itu mampu menjadi kenyataan atau sebaliknya.Bagaimanapun, pasukan Kenari sedar ranjau berhadapan dengan skuad Seladang pasukan yang menjadi saingan sengitnya dalam Liga Super sehinggakan juara Liga Super hanya dapat ditentukan selepas perlawanan terakhir liga.


Kedah melayakkan diri ke perlawanan akhir setelah mengatasi Terengganu 2-0 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman di sini, kelmarin.
Keputusan pertama di Terengganu seri tanpa jaringan.Walaupun menang, keputusan itu menunjukkan Kedah masih belum cukup mantap dan Terengganu seharusnya dipuji kerana berupaya mengimbangi rentak tuan rumah yang bersemangat tinggi di gelanggang sendiri tambahan disokong lebih 30,000 peminat setia Hijau Kuning. Penguasaan bahagian tengah skuad Penyu menyerlahkan keupayaan mereka mengatur serangan cuma jentera serangannya yang gagal menembusi benteng Kedah yang ampuh.


Sementara itu, ketua pasukan Kedah, Victor Andrag berkata, kejayaan memenangi Piala FA dan Liga Super sebelum ini menunjukkan pemain sudah matang dan mampu menangani saingan perlawanan akhir nanti. ‘‘Pemain import dan penyerang-penyerang tempatan pasukan Perak juga hebat tetapi dalam perlawanan akhir kami menganggap mereka sebagai tidak lebih daripada kami,” kata pemain pertahanan itu.
– Bernama

No comments: